Industri kecil dan sederhana (IKS) memegang peranan penting dalam pembangunan dan perkembangan ekonomi negara. Sumbangan dan sokongan besar IKS telah terbukti memberi pengaruh baik dan positif terhadap kadar pertumbuhan ekonomi yang semakin pesat iaitu pada purata 8.4% setahun dalam tempoh masa 1989-1994. Lebih penting, pertumbuhan sektor pembuatan yang amat memberansangkan sejak 1980-an telah meletakkan IKS sebagai industri penggerak utama dalam mempelbagaikan aktiviti di sektor ini.
Peranan dan sumbangan ini dijangka menjadi semakin penting dalam mencapai wawasan 2020 dan menjadikan negara ini sebagai sebuah negara perindustrian. Malah IKS boleh dijadikan sebagai asas, tulang belakang dan pendokong dalam memenuhi hasrat dan cita-cita wawasan pembangunan ekonomi negara selepas 2020.
Dewasa ini sumbangan IKS semakin terserlah dan ini dapat dikenalpasti dalam beberapa bidang seperti jumlah pertubuhan, jumlah pekerjaan, nilai keluaran dan harta tetap. IKS juga menyediakan sebanyak 44.2% peluang pekerjaan dari jumlah tenaga kerja dalam sektor perkilangan, 48.9% dan 31.7% masing-masing dalam jumlah nilai keluaran dan jumlah nilai harta tetap.
Lebih penting daripada peratusan perangkaan di atas ialah peranan sebenar yang dimainkan oleh IKS dalam pertumbuhan sektor perkilangan dan keseluruhan pembangunan ekonomi negara.
Secara umumnya, IKS membuka banyak peluang pekerjaan, sumbangan dalam meningkatkan jumlah simpanan negara dan menjimatkan tukaran wang asing, mewujudkan distribusi pendapatan yang lebih baik, membantu dalam melahir dan meningkatkan kemahiran di kalangan tenaga kerja terlibat baik di peringkat pekerja mahupun pada peringkat pengurusan dan membantu dalam meningkatkan arus pemindahan teknologi asing.
No comments:
Post a Comment